TAMAN PERPADUAN

TAMAN PERPADUAN 

The area of the first cluster of Taman Perpaduan that built by Ipoh Town Council in early 80s. The further developer of Taman Perpaduan used their preferred names for clusters they developed.

Kawasan kelompok mula yang dibangunkan oleh Majlis Perbandaran Ipoh pada awal tahun 80an. Pemaju seterusnya memilih menggunakan nama sendiri untuk perumahan yang dibangunkan dalam Taman Perpaduan. 

130 TAHUN LALU 

Sejarah asal kawasan Taman Perpaduan boleh dirujuk dari buku Kinta Valley tulisan Salma Nasution Khoo dan Abdurrazaq Lubis, di mukasurat 176. 

Ia menceritakan tentang penguasaan Tok Lembang di kawasan antara Tanjong Rambutan hingga ke Ipoh pada tahun 1870an dan menjalankan perniagaan sewa gajah bagi pengangkutan barangan dan bijih timah.

Tok Lembang bertanggungjawab membuka tanah-tanah di kaki gunung batu kapur di Tambun untuk pertanian dengan menggunakan pekerja dari Jawa. Pekerja Jawa ini membawa bersama mereka benih limau besar yang disebut 'limau bali'.

Perniagaan Tok Lembang menjadi merosot setelah laluan kereta lembu dibina menghubungkan Ipoh dan Tanjong Rambutan pada tahun 1880an.

Bermula dari zaman itulah, Tambun dikenali sebagai kawasan 'hitam' kerana kerap berlaku aktiviti merompak barang dagangan. 

Ironiknya, para perompak ini sentiasa mendapat pembelaan oleh tokoh-tokoh Melayu dan Cina di kawasan tersebut setiap kali mereka ditangkap.

Perompak-perompak dikatakan menjadikan sebuah kebun kopi di kawasan bukit atau "Coffee Hill" atau "Kopi-San", bahasa Cina untuk Bukit Kopi, sebagai sarang mereka.

Kawasan ini merupakan kawasan berbukit yang ditanam kopi, diusahakan oleh  Leong Fee dan Pemeriksa Lombong British, F.J.B Dykes. Selepas membeli saham Dykes, Leong Fee mendapati bukit kebun kopi itu terdapat deposit bijih timah antara terkaya di Kinta. Ramai yang membantah kerana jika benar, F.J.B Dykes pasti lebih arif.

"Amat menghairankan apabila sejumlah barang kemas ditemui di kebun kopi Tambun  merupakan barang yang dicuri di sebuah rumah di Tanjong Rambutan pada 11 Disember 1893 dan pemiliknya kini kembali mendapat barangan yang dicuri ini." - Perak Government Gazette, 1897.

Kopisan atau Bukit Kopi telah tiada lagi. Ia telah dijadikan lombong bijih timah oleh Leong Fee sebelum ditutup pada tahun 1970an. Yang tinggal hanya Sungai Kopisan yang mengalir dari Taman Perpaduan, melalui Sunway City Ipoh (dahulunya dikenali Bendang Ayer Hangat) dan mengalir ke Pekan Tambun untuk bertemu Sungai Pinji.

Tanaman kopi telah beralih ke Gopeng dan New Kopisan atau Kopisan Baru telah dibangunkan di sana.

Pada tahun 1979, Kopisan telah telah diratakan untuk projek pembinaan penempatan rumah teres orang Melayu paling besar dalam sejarah negeri Perak. Taman Perpaduan.